12/4/1435 (Petikan oleh MKI - Dari http://muhdkamil.org/pensyarah/mki)
BERDOALAH
 untuk melahirkan pelajar cemerlang berdasarkan beberapa konsep asas 
yang telah dicatatkan melalui bab terdahulu. Amalan ini – sebenarnya – 
membawa manusia kembali kepada fitrah asal iaitu kebergantungan kepada 
Allah SWT. Dialah yang Maha Berkuasa di atas segalanya.
Perasaan
 kasih-sayang ibu bapa dan keinginan mahu anak-anak berjaya dengan 
cemerlang boleh membawa mereka lebih hampir kepadaNya. Permohonan atau 
doa ibu bapa kepada Allah SWT agar anak-anak menjadi pelajar cemerlang 
mencakupi soal akademik dan bukan akademik. Malah ia perlu diteraskan 
kepada dua asas penting bagi mereka yang percayakan Allah SWT iaitu, 
rukun Islam dan Iman. 
Itulah – berdoa – merupakan salah satu peranan utama ibu bapa yang sering diabaikan. Bukankah Baginda SAW pernah menyatakan,
Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya. 
(Hadis ini direkodkan oleh Iman Tarmidzi, Ahmad dan Abu Daud)
Bayangkanlah jika hampir setiap hari – mungkin lima kali sehari – kita memohon kepadaNya,
Ya
 Allah ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa anak-anak kami. Ya Allah, 
jadikanlah anak-anak kami sebagai anak yang soleh dan solehah, anak-anak
 yang tahu menghormati kedua orang ibu bapa, adik-beradik, guru-guru, 
kaum keluarga dan muslimin dan muslimat. 
Ya
 Allah, jadikan anak perempuan kami sebagai anak yang mahu menutup aurat
 dengan sempurna, anak lelaki kami mahu solat berjemaah di masjid, tidak
 menduakan Mu, mahu melakukan amal ibadat wajib dan sunat dan sentiasa 
meninggalkan apa yang dilarang.
Ya
 Allah ya Tuhan kami, pancarkan kasih sayangMu, terangkanlah hatinya, 
kuatkanlah daya ingatannya, mudahkan pemahamannya dan lembutkanlah tutur
 katanya dan berikanlah kejayaan cemerlang di sisi Mu dalam proses 
mereka mencari ilmu. Berikanlah ilmu bermanfaat kepada mereka. Ya Allah,
 anugerahkanlah kejayaan di dunia dan akhirat.
Ya Allah kumpulkan kami semua di syurga Mu ya Allah.  
Allah
 Maha Mendengar. Bayangkanlah bagaimana jika ibu bapa sedang bermusafir 
dan berjauhan dengan kaum keluarga lalu mendoakan kejayaan anak-anak. Ia
 ingatan yang bermanfaat. Berdoa perlu dijadikan amalan harian kedua-dua
 ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak. Ia boleh dilakukan hatta
 ketika bermusafir. Doa-doa ini tentu sekali tidak memerlukan modal wang
 ringgit tetapi lebih kepada rasa cinta, kasih sayang bersandarkan 
kepada kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. 
Dalam
 hadis yang lain, Baginda SAW menyatakan bahawa doa orang yang berpuasa 
mustajab di sisi Allah SWT. Puasa merupakan amalan yang sangat istimewa.
 Ia amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang 
berpuasa hanya Allah SWT sahaja akan anugerahkan. Para malaikat sendiri 
tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatatkan. Ada sebuah hadis
 qudsi berbunyi, “puasa adalah milik Ku dan Akulah yang akan 
membalasnya”. Maka ia sangat sesuai dengan apa yang telah disebut oleh 
Baginda SAW yang bermaksud,
Ada
 tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa 
orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan 
doa orang yang dianiaya. 
(Hadis ini direkod oleh Termidzi)
Kami
 sering membayangkan bagaimana ibu bapa berpuasa Nabi Daud (nota: puasa 
selang sehari) yang mendoakan kejayaan cemerlang anak-anak mereka. 
Benar, ia bukan soal kejayaan akademik semata-mata. Allah ya Allah, 
wujudkah ibu bapa yang sebegini rupa? Ia sangat adil untuk mereka 
mengharapkan kejayaan cemerlang dengan mereka sendiri melakukan amalan 
terpuji di sisiNya. 
Malah
 bayangkan pula bagaimana jika ibu bapa bangun setiap hari pada 1/3 
malam tersisa beramal ibadat kepadaNya sambil mendoakan kejayaan 
anak-anak. Bukankah Allah secara jelas sudah menjanjikan sesuatu yang 
luar biasa berkaitan doa pada waktu ini?
Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah
 antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya Aku mengabulkan 
permintaannya? Adakah antara hambaKu meminta ampun kepadaKu, supaya Aku 
mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku 
memenuhinya?
(Hadis ini direkodkan oleh Iman Bukhari dan Muslim)
Ia
 sungguh menarik memperkatakan peranan dan amalan doa yang boleh 
dimanfaatkan dalam membentuk pelajar cemerlang. Sungguh, ia 
berangkai-rangkai di antara satu ibadat dengan ibadat yang lain. 
Akhirnya, pelajar cemerlang – sememangnya – dilahirkan oleh ibu bapa 
yang cemerlang. Malah Allah SWT menyatakan secara tegas melalui al-Quran
 yang bermaksud,
Dan
 apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang  Aku, maka (jawablah),
 sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang 
berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) 
Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. 
(Petikan surah al-Baqarah ayat 186).
Allah
 SWT tersangat dekat dengan hambaNya. Cuma Dia mahu hambanya mematuhi 
setiap suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. In sya Allah, 
doa-doa yang dipohon oleh ibu bapa agar anak-anak cemerlang dimakbulNya.
 Moga Allah memberi kita ilham untuk mendidik anak-anak agar seimbang 
kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Kami fikir, tidak perlulah 
mengupah orang untuk berdoa atau mengharapkan air tawar tanpa kita 
sendiri memohon kepadaNya.
Masya Allah, Subhanallah, Allahu Akbar.